Cari Blog Ini

Khamis, 20 Ogos 2009

Cara beroperasi menggunakan Radio Amatur

Komunikasi melalui radio amatur tidak seperti penggunaan telefon bimbit kerana liputannya tidak terbatas kepada kawasan berpenduduk sahaja. Keupayaan radio amatur bergantung kepada antenanya dan juga jaluran (band) yang digunakan. Semakin tinggi antena (atau semakin banyak elemen sesebuah antena itu, semakin baik keupayaannya).

Di dalam keadaan darurat seperti bencana alam, peranan radio amatur amat menonjol di dalam memberikan kemudahan perhubungan. Contoh aplikasi radio amatur yang digunakan ketika bencana di Malaysia ialah ketika tragedi Highland Towers pada tanggal 11 Disember 1993 yang telah mengorbankan 48 nyawa, apabila Malaysian Amateur Radio Transmitters' Society (MARTS) tampil memberikan kemudahan perhubungan komunikasi di antara lokasi runtuhan dengan hospital. Pada 6 Disember 2008 pula, Malaysian Amateur Radio Emergency Service Society (MARES) telah menubuhkan komunikasi kecemasan di Bukit Antarabangsa, Ampang untuk membantu dalam memberi liputan dan juga bantuan dari segi komunikasi kepada pihak berkuasa yang menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh.

Secara asasnya, terdapat 2 jenis komunikasi di dalam radio amatur iaitu secara simpleks dan satu lagi melalui pancar ulang. Simpleks (simplex) merupakan kaedah perhubungan radio secara point to point. Seakan menggunakan radio FRS seperti Motorola Talkabout. Pancar ulang atau repeater pula merupakan perhubungan melalui sejenis peranti yang menerima (RX) dan menghantar (TX) kembali audio kita. Pancar ulang lazimnya terletak di kawasan tinggi seperti di gunung/bukit bagi membolehkan ia menerima dan menghantar semula audio ke tempat yang lain pada jarak yang lebih jauh.

Pancar ulang penting kerana ada kalanya komunikasi agak sukar kerana terlindung oleh halangan seperti struktur binaan manusia seperti bangunan mahupun muka alam seperti bukit dan gunung. Oleh yang demikian, bagi membolehkan audio disampaikan ke kawasan yang terlindung, pancar ulang diperlukan. Di Malaysia hampir kesemua pancar ulang dimiliki oleh persatuan radio amatur seperti MARTS, MARES, ASTRA, JASRA dan lain-lain lagi yang boleh dimanfatkan oleh ahlinya untuk berkomunikasi dengan rakan lain samada secara lokal mahupun transnasional (seluruh negara).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan