Lesen radio amatur di negara ini terbahagi kepada 2 kelas iaitu A dan B. Lesen B merupakan lesen asas yang dikeluarkan kepada calon yang lulus RAE. Lesen B membolehkan operator radio amatur mengendalikan radio pada julat dan kuasa pancaran (watt) yang lebih rendah berbanding pemegang lesen kelas A. Pemegang lesen kelas B akan mendapat callsign yang bermula dengan 9W2 atau disebut sebagai Nine-Whiskey-Two manakala pemegang lesen kelas A disebut sebagai 9M2 atau Nine-Mike-Two. Callsign tersebut adalah unik bagi setiap pemegangnya dan digunapakai untuk berhubung ke seluruh dunia.
Mereka yang ingin mendapatkan lesen kelas A, perlu terlebih dahulu memiliki lesen kelas B untuk sekurang-kurangnya 1 tahun sebelum boleh memohon untuk menduduki ujian CW (continous wave) atau Kod Morse. Hanya mereka yang lulus sahaja akan diberikan lesen kelas A dan boleh mengendalikan perkakasan radio berkeupayaan tinggi selain boleh berhubung menggunakan Kod Morse hanya dengan menggunakan bateri berkuasa 9 volt.
Di Malaysia, perkhidmatan radio amatur dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Seseorang yang ingin menjadi mengoperasikan perkakasan radio komunikasi amatur perlu terlebih dahulu menduduki Peperiksaan Radio Amatur atau RAE (Radio Amateur Examination) yang dikelolakan oleh MCMC. Calon yang lulus akan dibenarkan untuk membuat permohonan untuk mengoperasikan perkakasan radio amatur dan diberikan callsign atau tanda pengenalan untuk berkomunikasi. Hanya selepas memperolehi AA atau Apparatus Assignment (penguntukan radas/lesen) dari MCMC, seseorang boleh mula ber"QSO" atau berbual di dalam jaluran.
Setiap negara mempunyai badan yang bertanggungjawab memantau semua aktiviti yang berkaitan dengan radio amatur sebagaimana MCMC untuk Malaysia. Badan ini diikhtiraf oleh ITU International Telecommunication Union iaitu badan yang menyelia dan memantau aktiviti berkenaan telekomunikasi pada peringkat antarabangsa. Peruntukan callsign untuk sesuatu negara adalah dibuat di peringkat ITU. Badan khas yang memantau operasi radio amatur di peringkat ITU adalah IARU International Amateur Radio Union. Setiap negara mempunyai hanya satu persatuan radio amatur yang diikhtiraf oleh IARU. Untuk Malaysia, persatuan yang diikhtiraf oleh IARU adalah MARTS. Walaupun begitu, persatuan-persatuan lain yang berasaskan lokaliti (negeri, daerah, institusi dan sebagainya) atau kumpulan minat (pacuan 4 roda, khidmat kecemasan, pengembaraan dan sebagainya) bebas ditubuhkan dan beroperasi di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan